News

FarmByte, Agrobank bekerjasama tingkat taraf hidup petani kecil

Published September 11, 2024
CEO FarmByte, Syed Aiman (tiga dari kanan) bersama Presiden dan CEO Agrobank, Tengku Ahmad Badli Shah (tiga dari kiri) memegang plak Program Pembiayaan Petani Kontrak pada majlis menandatangani perjanjian rakan niaga strategik di MAHA 2024, Serdang

SERDANG: Agrobank menjalin kerjasama strategik dengan FarmByte Sdn Bhd, sebuah syarikat agromakanan digital di bawah Johor Corporation (JCorp) melalui peruntukan RM12 juta sebagai tanda sokongan kepada Program Pembiayaan Pertanian Ladang Kontrak FarmByte yang merangkumi perbelanjaan operasi ladang.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Agrobank, Datuk Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin, berkata kerjasama itu adalah sebagai usaha mentransformasi dan memperkukuh landskap pertanian Malaysia selain bertujuan memperkukuhkan sektor agro-makanan negara.

Katanya, kerjasama itu juga bertujuan memperkasakan petani kecil dengan menyediakan sokongan pembiayaan dan akses kepada pasaran sekali gus memacu ke arah pertanian yang lestari dan menguntungkan.

"Kami amat berbesar hati dapat bekerjasama dengan FarmByte dalam inisiatif baharu ini. Dengan menawarkan sokongan kewangan dan jaminan pasaran untuk 50 petani dengan bantuan kewangan maksimum sehingga RM239,940 bagi setiap peserta, kami bukan sahaja meningkatkan taraf hidup petani tetapi juga menyumbang kepada jaminan bekalan makanan Malaysia.

"Kerjasama ini adalah langkah penting ke arah membina sektor pertanian yang lebih berdaya tahan. Selain itu, Agrobank berharap untuk melihat lebih ramai usahawan terbabit dalam sektor pertanian dan kami percaya MAHA (Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia) adalah salah satu platform untuk mendekati komuniti yang kurang mendapat perhatian," katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis menandatangani perjanjian rakan niaga strategik Agrobank dengan Farmbyte sempena MAHA 2024 di sini, hari ini.

Perjanjian itu ditandatangani oleh Tengku Ahmad Badli Shah mewakili Agrobank, manakala FarmByte oleh CEO, Syed Aiman Kifli Syed Jaafar.

Sementara itu, Syed Aiman berkata, kerjasama dengan Agrobank selari dengan visi syarikat untuk merevolusikan pertanian dengan menyediakan sumber kewangan dan teknologi kepada petani.

"Matlamat kami adalah untuk memperkasa petani dalam menghasilkan tanaman berkualiti dan bernilai tinggi, seterusnya memastikan rantaian nilai agromakanan yang lebih mampan dan menguntungkan.

"Dengan sokongan Agrobank, kami bukan sahaja dapat menawarkan kepada petani bantuan kewangan tetapi juga alat dan pandangan yang mereka perlukan untuk berjaya dalam pasaran yang kompetitif," katanya

Perkongsian itu adalah perjanjian pengambilan atau 'offtake' yang terjamin, di mana FarmByte komited untuk membeli semua hasil tuaian daripada petani yang menyertai program ini pada kadar yang kompetitif.

Perjanjian terbabit menyediakan pasaran yang selamat dan stabil kepada petani, mengurangkan risiko kewangan yang berkaitan dengan pertanian dan memastikan rantaian bekalan yang konsisten.

Melalui FarmByte, petani akan mendapat akses kepada data masa nyata mengenai permintaan tanaman, trend bekalan, dan ramalan harga.

Gabungan pendekatan berasaskan data dan sokongan kewangan daripada Agrobank, ia dijangka akan meningkatkan hasil tuaian dan kestabilan pasaran untuk petani-petani kecil.

Sumber: https://www.bharian.com.my/bisnes/korporat/2024/09/1297019/agrobank-farmbyte-bekerjasama-tingkat-taraf-hidup-petani-kecil

More Related Stories
Data Driven: Empowering and uplifting agrofood farmers
FarmByte, Agrobank bekerjasama tingkat taraf hidup petani kecil
FarmByte and Agrobank Forge Strategic Alliance to Strengthen Malaysia’s Food Security